Khairul Fahmi Che Mat dan Nur Eilunie Natasha Jaafar selepas majlis pernikahan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Wakaf Baru, semalam. – UTUSAN/Shahril Azman Zain
TUMPAT – Penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat, 23, menegaskan perkahwinannya dengan pemilik butik dan model Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, tidak akan menjejaskan prestasinya sebagai seorang pemain bola sepak negara dan Kelantan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Apek berkata, perkahwinan tersebut harus dipandang positif kerana ia akan membangkitkan lagi semangatnya untuk beraksi di atas padang.
"Insya-Allah prestasi saya tidak akan terjejas, kita kena ambil positif, lihat David Beckham sebelum ini biarpun sudah berkahwin tetapi prestasinya tidak menurun malah semakin meningkat.
"Saya akan cuba kekalkan prestasi yang terbaik kerana ini adalah karier saya dan saya amat bertuah kerana Leuniey amat memahami karier saya sebagai seorang pemain bola sepak," katanya dalam sidang media selepas majlis pernikahan beliau di Wakaf Bharu di sini semalam.
Apek dan Nur Eilunie atau Leuniey selamat diijabkabulkan pada pukul 10 pagi semalam di rumah keluarga Leuniey di Wakaf Bharu dekat sini.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib dengan disaksikan oleh ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa kedua mempelai di rumah keluarga Leuniey di sini.
Pada majlis tersebut, Khairul Fahmi menyerahkan mas kahwin sebanyak RM19,000 bersama tujuh dulang hantaran dan Leuniey membalas dengan tujuh dulang.
Apek yang mengenakan persalinan berwarna kuning muda sah menjadi suami kepada Leuniey dengan sekali lafaz dan lebih 2,000 tetamu termasuk peminat setia mereka hadir pada majlis pernikahan tersebut.
Khairul Fahmi ketika ditemui bersyukur majlis tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
"Alhamdulillah majlis pernikahan ini berlangsung dengan baik. Saya memilih Leuniey kerana dia memahami karier saya yang terlalu sibuk. Sebagai contoh, saya hanya pulang untuk membuat persediaan sehari sebelum majlis ini berlangsung.
"Perasaan saya sebelum majlis akad nikah gementar, tetapi ia tidak sama ketika beraksi di atas padang kerana hari ini semua memberi sokongan kepada saya dan Leuniey," katanya.
Dia menyerahkan kepada Allah sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat ini dan berharap akan menimang sekurang-kurangnya empat orang anak.
Dalam pada itu, Leuniey berharap suaminya akan menjadi 'kapten' kepada keluarga mereka dengan baik meskipun pelbagai kontroversi dikaitkan dengan mereka sebelum ini.
"Saya bersedia sepenuhnya, dalam masa bercinta pelbagai cerita keluar dalam akhbar dan blog. Saya sentiasa berbincang dengan suami bila cerita seperti ini keluar.
"Ini jodoh yang ditentukan dalam perjalanan hidup kami, saya bersyukur kerana kami telah disatukan," katanya sambil menyifatkan suaminya seorang yang romantik dan penuh dengan kejutan.
- UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan