Sabtu, 29 Mac 2014

di negeri kelantan - Google Blog Search

di negeri kelantan - Google Blog Search


Mohd Noor Mamat Online: Berkeliling <b>di</b> 5 <b>negeri</b> : <b>Kelantan</b>-Perak <b>...</b>

Posted: 21 Dec 2013 02:41 AM PST

Selepas berada 3 hari di Perak, rencana kami yang seterusnya adalah pulang menemui kedua ibubapa dan keluarga sebelah isteri di Kg. Sg. Lang Baru, Banting, Selangor. Selain itu, hasrat lainnya adalah untuk menyertai dan memeriahkan majlis pertunangan adik lelaki bongsu isteri yang diadakan pada tanggal 11.12.13.

Usai sarapan pagi, adik ipar saya, Mat mengucapkan salam perpisahan awal kerana perlu menghadiri mesyuarat penyediaan Takwim Sekolah. Biarpun masih dalam cuti persekolahan, beliau perlu berkerja bagi menyediakan perancangan aktiviti bagi sesi persekolahan yang akan datang. Selepas mengucapkan terimakasih dan bersalaman sebagai tanda perpisahan dengan dengan Jah dan anak-anak, kami memulakan perjalanan dari Kuala Kangsar, Perak ke Banting Selangor pada pukul 11 pagi.

Perjalanan dari Kuala kangsar, Perak ke Selangor melalui lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sejauh 238 km mengambil masa kira-kira 3 jam. Setelah sampai di Selangor kami memasuki Kuala Lumpur dan menyusur jalan menghala ke Banting, Selangor. Sepanjang perjalanan dari Kuala Kangsar ke Banting, kami terpaksa melalui tidak kurang daripada 7 plaza tol. Sememangnya perjalanan berkenderaan selain motorsikal di Kuala Lumpur memang memerlukan tambang untuk 2T, iaitu untuk Tenaga (bahanapi) dan Tol. Kami akhirnya sampai di rumah kedua ibubapa isteri di Kg. Sg. Lang Baru, Banting, Selangor kira-kira pukul 2.40 petang. Ketibaan kami sekeluarga disambut dengan gembira oleh emak dan abah. Kali terakhir kami pulang adalah pada cuti penggal persekolahan yang lepas. 


Sempena kepulangan kami, emak telah menyediakan masakan istimewa iaitu Nasi Ambang untuk dimakan bersama-sama. Nasi ambang adalah hidangan khas berupa nasi putih yang diletakkan di atas daun pisang dan diletakkan lauk pauk di sekelilingnya. Lauk wajib nasi ambeng adalah serundeng kelapa. Lauk nasi ambeng yang popular adalah daging ayam masak kicap, ayam goreng, mee hoon goreng, tempe goreng, ikan kering goreng dan sambal goreng. Penyajian nasi ambeng adalah disediakan dengan nasi dan lauk pauknya diletakkan di atas talam untuk dimakan bersama-sama. Nasi dimakan beramai-ramai oleh empat hingga lima orang dewasa. Nasi dimakan dengan tangan tanpa sudu dan garpu.
Kebiasaannya Nasi ambeng adalah hidangan yang disajikan dalam majlis kenduri sebagai lambang keberuntungan. Penyajian nasi ambeng mengandungi permohonan agar semua pihak yang turut serta dikurniakan rezeki yang banyak. Nasi ambeng popular di Malaysia, terutama di kalangan penduduk yang berketurunan Jawa. Hidangan ini juga dapat dijumpai di Indonesia dan Singapura.









Selepas sehari berada di Banting, keesokan harinya iaitu pada tanggal 11.12.13, kami turut serta dalam rombongan untuk urusan pertunangan Shahril yang merupakan adik bongsu isteri. Majlis pertunangan berlangsung dengan lancar di rumah keluarga Ika, gadis pilihan Shahril (kami memanggilnya Atan) di Sg. Buaya. Tanggal 11.12.13 sengaja dipilih dan ianya adalah tarikh yang istemewa dan bermakna bagi Atan dan tunangnya. Majlis pernikahan pula dirancang akan dilangsungkan pada bulan September 2014 nanti. Berikut adalah sebahagian gambar yang sempat dirakam semasa hari pertunangan tersebut:






Selepas selesai majlis pertunangan Atan, keesokan harinya, kami sekeluarga bersiap untuk kembali pulang. Usai bersalaman dan mengucapkan salam perpisahan kepada emak, abah, nenek serta ahli keluarga yang lain, sekitar pukul 11.15 pagi kami pun bertolak dan memulakan perjalanan pulang. Perjalanan pulang ke Kelantan ini merentasi negeri Pahang dan Terengganu. Kami sengaja merancang ke Pahang kerana ingin bertemu kawan-kawan lama semasa bekerja di negeri ini pada suatu ketika dahulu. Hajat kami adalah untuk singgah dan bertemu dengan kawan-kawan lama di Klinik Kesihatan Pekan Awah dan Pejabat Kesihatan Daerah Maran. Selain itu, kami juga ingin melawat keluarga bapa saudara isteri yang menetap di Sg. Leng, Maran, Pahang. 
Perjalanan dari Banting menuju ke Pahang, kami perlu melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Kami bermula dengan menyusuri Jalan Klang-Banting,Jalan Kampung Jenjarom, Jalan Kebun dan seterusnya Lebuhraya Shah Alam. Dari Lebuhraya Shah Alam, kami memasuki Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang dan meneruskan perjalanan menerusi Jalan Lingkaran Tengah 2 sebelum memasuki Lebuhraya Karak.
Kami menelusuri Lebuhraya Karak yang panjangnya 60km dan menghubungkan Kuala Lumpur dengan Bandar Karak di Pahang. Selepas memasuki Terowong Genting Sempah, yang terletak dalam daerah Gombak, kami memilih jalan menghala ke Kuantan. Selepas lebuhraya Karak berakhir kami memasuki pula lebuharaya Pantai Timur (LPT). Ini adalah pengalaman kali pertama saya memandu kenderaan melalui LPT. Turapan permukaan lebuhraya yang baik dan ditambah dengan kenderaan yang tidak banyak menyebabkan aliran perjalanan menjadi lancar serta cepat. Untuk sampai ke Klinik Kesihatan Pekan Awah, kami perlu memasuki susur keluar 821 atau exit 821. Sebelum memasuki jalan susur keluar 821, meter hitungan kilometer kenderaan yang dinaiki mencecah ke 1000 km bagi perjalanan yang bermula dari rumah kami di Kelantan menuju Perak, Selangor dan Pahang. Jalan susur keluar 821 ini adalah jalan pintas bagi mereka yang ingin menuju ke Bandar Pusat Jengka, Pekan Awah, Chenor dan kawasan sekitarnya. Ianya adalah jalan pintas ke lokasi-lokasi berkenaan tanpa melalui bandar Temerloh yang terkenal dengan nama Bandar Ikan Patin.

Kami sampai di Klinik Kesihatan Pekan Awah kira-kira pukul 1 tengahari iaitu waktu rehat bagi pekerja sektor Awam. Sebaik sahaja memasuki kawasan Klinik Kesihatan kami terus menuju ke kuarters yang didiami oleh En. Badrul dan keluarga. En. Badrul adalah pemandu kenderaan di Klinik Kesihatan Pekan Awah. Kami memaklumkan kepada En. Badrul berkenaan kedatangan setelah memasuki LPT. Sebenarnya kami ingin membuat kejutan dan kunjungan balas di atas kunjungan beliau dan keluarga ke rumah kami sebelumnya. Kedatangan kami disambut oleh En.Badrul dan isteri yang sudah sedia menunggu. Sambil menikmati jamuan ringan, en. Badrul menelefon kawan-kawan yang lain memberitahu mengenai kedatangan kami ke rumah beliau. Sejurus selepas itu, beberapa orang rakan-rakan lama kami datang berkumpul. Kami berborak dan bermesra sambil mengimbau kisah-kisah lama. Tidak semua rakan-rakan lama yang dapat kami jumpa kerana sebilangannya sudah bertukar ke tempat lain kerana dinaikkan pangkat. Manakala sebahagiannya sudah tidak bekerja lagi kerana telah bersara.

Hampir sejam kami menghabiskan masa bersama-sama, bertanya khabar dan bercerita kisah lama dan semasa.Seterusnya kami meminta izin untuk menyambung perjalanan menuju ke rumah Wak Ros-bapa saudara isteri di Sg. Leng. Kami sampai di rumah Wak Ros kira-kira pukul 3.30 ptg. Kedatangan kami disambut oleh Wak Ros dan isteri bersama sebahagian anak-anak dan cucu-cucunya walaupun hanya dimaklumkan 2 jam sebelumnya. Kami berada di rumah Wak Ros juga hampir sejam. Selepas itu kami meneruskan perjalanan. Sebelum beredar kami merakam gambar bersama-sama sebagai kenangan.

Perjalanan seterusnya adalah ke Pejabat Kesihatan Daerah Maran yang terletak di Bandar Maran bagi berjumpa sebahagian lagi rakan-rakan lama. Namun hasrat tersebut terpaksa dibatalkan kerana kami tiba di Bandar Maran kira-kira pukul 5 petang iaitu masa pulang dari pejabat. Kami tidak ingin mengganggu rakan-rakan yang pulang untuk beristerehat. Kami melewati Bandar Maran yang terkenal dengan jolokan Bandar Ayam Kampung sambil merakam gambar sebagai kenang-kenangan. Berikut adalah gambar-gambar yang sempat kami rakam, bermula dari memasuki Terowong Genting Sempah sehinggalah ke Bandar Maran, Pahang.










Destinasi kami yang seterusnya adalah rumah adik saya Mohd Kamri yang terletak di Kg. Petai Bubus, Manir, Kuala Terengganu. Jarak di antara Bandar Maran ke Kg. Petai Bubus, Manir adalah lebih kurang 374 km atau 3 1/2 jam perjalanan. Dari Bandar Maran kami meneruskan perjalanan menelusuri LPT merentasi Seri Jaya, Gambang dan Bukit Goh. Selepas itu kami memasuki jalan susur keluar Jabor-Mukti Billah Shah sehinggalah kami memasuki bandar Kemaman, Terengganu ketika waktu Maghrib menjelang tiba. Perjalanan pada waktu malam terasa begitu berbeza sekali berbanding dengan di siang hari. Suasana yang menarik dengan limpahan cahaya dan kerdipan lampu neon terutama di sekitar bandar-bandar seperti Kemaman, Cukai, Kerteh dan Paka terasa begitu meriah sekali. Suasana malam khususnya di bandar Kerteh yang dikenali dengan bandar minyak begitu menambat perhatian. Malam menjadi terang-benderang dengan nyalaan-nyalaan besar api daripada kompleks penapisan minyak dan gas bagaikan suasana pelancaran roket ke angkasa lepas! 
Kami sampai di rumah adik saya di Kg. Petai Bubus kira-kira 9.30 malam dan dihidangkan makan malam oleh Nur, isteri  Kamri. Selepas makan, mandi, solat dan berborak sekejap dengan Nur dan Kamri, kami pun tidur setelah seharian mengharungi perjalanan. Pada Keesokannya iaitu hari Jumaat, selepas sarapan pagi kami bertolak balik ke Kelantan pada pukul 9.15 pagi. Selepas 3 jam perjalanan melalui jalan pesisir pantai Terengganu-Kelantan, kami selamat sampai di rumah pada pukul 12.20 tgh. Saya sempat solat Jumaat di Masjid Kedai Lalat yang terletak berhampiran dengan kediaman kami. Kami melengkapkan perjalanan berkeliling ke lima negeri iaitu Kelantan, Perak, Selangor, Pahang dan Terengganu selama seminggu dengan jarak sejauh 1492.8 km. Ianya adalah suatu perjalanan berkenderaan yang agak jauh dan memberi banyak kenangan serta pengalaman kepada kami sekeluarga.






Hitungan kilometer sejauh 1492.8 km - Jarak perjalanan bagi tempoh seminggu,
selepas berkeliling ke lima negeri iaitu Kelantan, Perak, Selangor, Pahang dan Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads