KOTA BAHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam pemerdagangan orang dalam satu sekatan jalan raya di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada Khamis lepas.
Pengarahnya Mahasan Mustapa berkata lelaki berusia 46 tahun dan berasal dari Tanah Merah itu ditahan bersama 24 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang menaiki sebuah bas yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur kira-kira jam 9.45 malam.
"Siasatan awal mendapati pendatang terbabit diseludup masuk melalui sempadan Malaysia-Thailand sebelum menaiki bas dua tingkat yang disewa khas untuk dihantar ke Kuala Lumpur," katanya kepada Bernama semalam.
Mahasan berkata sebelum itu pihaknya membuat pemeriksaan di sekatan jalan raya di kampung tersebut bersama Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) bagi mengesan kemasukan pendatang tanpa izin.
Beliau berkata dalam pemeriksaan itu pihaknya turut menahan pemandu bas dan pemandu kedua yang berusia 44 dan 45 tahun bagi membantu siasatan, dan dibebaskan setelah selesai mengambil keterangan daripada mereka.
"Pendatang terbabit yang berusia antara 17 dan 52 tahun ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.
Mahasan berkata lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda tanpa had atau kedua-dua sekali.
Beliau berkata semua pendatang terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan (2002). — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan