Rabu, 7 September 2011

03 di pulau melaka - Google Blog Search

03 di pulau melaka - Google Blog Search


MB Dari Pas : Apa Kurangnya Azizan Dibandingkan Nik Aziz?

Posted: 02 Sep 2011 02:38 AM PDT

KUALA LUMPUR – Hari keempat sambutan Aidilfitri dikejutkan dengan berita Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan berundur dari jawatannya ekoran masalah kesihatan.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dikatakan akan menghadap Sultan Kedah berhubung peralihan itu selepas berjumpa dan berbincang dengan pemimpin negeri di Alor Setar pada hujung minggu ini.

Dalam hal ini, Azizan dilaporkan sebagai berkata : "Mereka beritahu saya, kami mahu awak berehat. Kami mahu gunakan tenaga dan kemahiran awak kemudian hari nanti. Saya ok, tetapi ada orang yang tidak mahu saya berada di sana lagi, ada yang mahu saya mati."

Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah menentang peralihan kuasa itu dan beliau 'dipaksa' berundur dari jawatan semasa atas alasan kesihatan.

Untuk rekod, Azizan kembali bertugas pada 17 Ogos yang lalu setelah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah jantung pada awal bulan lalu.

Beliau beransur sihat dan kembali menjalankan tugas seperti biasa.

"Saya memang nampak lemah sedikit. Bukan apa, lemah sebab tak makan (berpuasa)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Seri Mentalon di Alor Setar, baru-baru ini.

Jika faktor kesihatan dijadikan alasan untuk 'memaksa' Azizan berundur, maka akan timbul pelbagai versi dan kontroversi dalam kepimpinan Pas sendiri kerana rakan sejawatan Azizan dari Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menghadapi masalah yang sama tetapi masih diangkat untuk memegang jawatan itu.

Nik Aziz juga pernah dimasukkan ke institut berkenaan berkali-kali atas masalah kesihatan yang sama antaranya pada tahun 2006 dan terbaru, 2009 dan menerima rawatan sehingga pulih sebelum terus 'dibenarkan' memegang jawatan Menteri Besar sehingga hari ini.

Selain IJN, Nik Aziz juga pernah dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada bulan Oktober 2008.

Malah dari segi faktor usia juga, Nik Aziz berumur 80 tahun (lahir pada tahun 1931 di Pulau Melaka, Kelantan) walhal Azizan pula 10 tahun lebih muda dari Nik Aziz.

Di sebalik 'kekecohan' ini, timbul beberapa versi cakap-cakap yang menjurus kepada desakan agar Azizan melepaskan jawatan beliau walaupun pilihanraya umum ke-13 akan berlangsung tidak lama lagi.

Antaranya pimpinan pusat Pas yang tidak sealiran dengan Azizan terutama para pemimpin baru yang menang dalam pemilihan Muktamar Pas 2011 yang menyaksikan pertukaran pimpinan atasan parti itu.

Malah Azizian menjadi satu satunya Menteri Besar dari Pakatan Rakyat yang tidak menyokong perhimpunan Bersih yang dianjurkan baru-baru ini.

Apa jua krisis dan tentangan pendapat yang berlaku di peringkat 'dalaman' parti itu, Azizan boleh berbangga dengan rekod pemerintahannya selama lebih 3 tahun sejak tsunami politik negara 2008 yang bersih, teratur dan membangun.

Di bawah kepimpinan Azizan, Kedah yang digelar jelapang padi Malaysia terus membangun sejajar dengan tema : Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua.

Antara kemakmuran yang dirasai oleh rakyat negeri itu di bawah kepimpinan Azizian selaku Menteri Besar ialah Skim Kafalah sebagai salah satu jenis bantuan kerajaan negeri kepada orang miskin apabila berlaku kematian tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik selain membina kampus induk KUIN di Kuala Ketil dengan nilai RM 330 juta di atas tanah 831 ekar.

Azizan juga dapat meningkatkan hasil kerajaan negeri melalui pembalakan sehingga mencatat kutipan hasil RM53 juta pada 2010 dan telah dinyatakan dalam kapasiti Ketua Audit Negara 2010 di samping mewujudkan Tabung Tunku Mahmud sebagai tabung bantuan pendidikan di negeri Kedah.

Selain memastikan pentadbiran yang sifar rasuah, pimpinan Azizan sebagai teraju pentadbiran negeri Kedah mendapat pengiktirafan Laporan Ketua Audit Negara (2009) yang menyatakan Kedah telah berjaya meningkatkan hasil sehingga 205% berbanding tahun 2007.

Justeru, melihatkan sejarah kepimpinan Pas di Kelantan dan rekod pentadbiran Azizan selaku Menteri Besar Kedah sejak 2008, masalah kesihatan hanya sekadar alasan untuk 'memaksa' Azizan berundur dengan sebab-musabab lain masih tersirat.

Buat masa ini, Azizan adalah ADUN Sungai Limau sejak tahun 2008 setelah mendapat undi sebanyak 12,028 menewaskan Basorri Abu Hassan dari BN yang mendapat 8,816 undi.

Related posts:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads