Rabu, 7 September 2011

03 di tumpat - Google Blog Search

03 di tumpat - Google Blog Search


Malaysia Zoom » UMNO <b>Tumpat</b> rai anak yatim

Posted: 05 Sep 2011 04:01 PM PDT

KOTA BHARU 5 Sept. _ Sepasang pakaian baharu mungkin biasa diterima oleh kanak-kanak yang datang daripada keluarga berada, namun seorang anak yatim miskin, ia dianggap begitu bermakna apatah lagi mahu digayakan di pagi Syawal yang mulia.

Bagi golongan yang kurang berkemampuan itu, fesyen dan warna bukan keutamaan kerana apa yang lebih penting, seperti rakan sebaya lain mereka juga berpeluang menyarung sepasang pakaian serba baharu.

Berkongsi rasa dan kegembiraan dengan anak-anak yang masih terlalu mentah mengenali erti kesusahan orang tua, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Tumpat mengambil inisiatif mengumpul tabung untuk menjayakan Program Sinar Kasih Aidilfitri – Jom Shopping Pakaian Raya di pasar raya Mydin Kubang Kerian di sini, baru-baru ini.

Program itu disertai oleh 320 anak-anak yatim dan miskin daripada 53 kampung di Jajahan Tumpat yang diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Noor Zahidi Omar.

Turut serta ialah Ketua Pemuda, Rosidi Mahmud Kamaruddin; Ketua Puteri, Nik Fatimah Nik Salleh dan ketibaan rombongan tersebut disambut oleh Pengurus Cawangan Mydin Kubang Kerian, R. Naidu.

Mereka dibawa secara berkonvoi dengan menaiki 26 kenderaan, termasuk enam bas dari Tumpat dan tiba di pasar raya tersebut lebih kurang pukul 9 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis trafik.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak tersebut yang setiap seorang mendapat sepasang baju Melayu atau kurung dilengkapi songkok, samping dan tudung serta sepasang kasut.

Menurut Noor Zahidi, program tersebut bertujuan berkongsi keceriaan dengan anak-anak daripada golongan kurang bernasib baik melalui sumbangan yang diperuntukkan oleh UMNO bahagian.

Anak-anak yang dibawa membeli-belah itu datang dari seluruh pelosok kampung di Tumpat yang dikenal pasti oleh pemimpin-pemimpin masyarakat di sana.

UMNO Tumpat mahu kegembiraan Aidilfitri turut dirasai oleh anak-anak kerana memang lumrah, golongan inilah yang patut diraikan.

Mereka terdiri daripada 160 kanak-kanak lelaki dan 160 kanak-kanak perempuan yang setiap seorang mendapat nilai belanja pakaian dan kasut raya bernilai RM100, ujarnya.

Tambahnya, RM32,000 dibelanjakan untuk menjayakan program tersebut.

Program itu turut dibantu oleh 30 kakitangan dan jururawat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang menjadi ibu angkat kepada anak-anak tersebut untuk memilih saiz dan warna baju serta kasut mengikut cita rasa masing-masing.

Selain itu, 60 kakitangan Mydin daripada bahagian pentadbiran turut membantu anak-anak tersebut membeli-belah.

Sementara itu, Nik Fatimah berkata, program tersebut merupakan kesinambungan daripada program pada tahun lalu, bezanya kali ini sayap parti itu membawa kumpulan kanak-kanak dalam skala lebih besar.

Program membeli-belah bersama anak-anak yatim dan miskin ini bermula sejak tahun lalu, tetapi hanya melibatkan 30 orang. Tahun ini melalui peruntukan yang disalurkan daripada UMNO pusat, lebih ramai anak yatim berjaya dibantu.

Puteri terpanggil untuk meneruskan program ini untuk memberi keceriaan kepada mereka yang ada di antaranya telah kehilangan orang tua dan tinggal bersama waris yang juga hidup dalam kancah kemiskinan, katanya.

Sementara itu, salah seorang anak yatim yang ditemui, Mohd. Syazwan Mohamad, 11, dari Kelaboran melahirkan syukur dan rasa gembira kerana terpilih menyertai program membeli-belah itu.

Kebetulan nenek yang menjaga kami tujuh beradik pun belum membuat apa-apa persediaan menyambut hari raya, jadi pakaian dan kasut baru yang disumbangkan oleh UMNO hari ini akan saya pakai di pagi Syawal nanti, ujarnya yang telah kehilangan ibu bapa sejak kecil lagi.

Bagi Wan Nur Shaliza Wan Zadri, 11, dari Kampung Rhu Dalam pula berasa bertuah diberi peluang membeli belah di pasar raya Mydin dan memilih sendiri fesyen dan warna kegemarannya.

Ayah telah meninggal dunia semasa saya berusia 8 tahun dan sejak itu, hari raya disambut ala kadar sahaja tetapi hari ini saya gembira kerana mendapat pakaian dan kasut baharu untuk dipakai ke rumah kawan-kawan di hari raya nanti, ujar anak bongsu daripada empat adik beradik itu.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads