Rabu, 2 Mei 2012

03 di kota bharu - Google Blog Search

03 di kota bharu - Google Blog Search


RAKYAT MARHAEN: Bertemu Tok Guru <b>di Kota Bharu</b>

Posted: 08 Apr 2012 10:06 PM PDT

Alang-alang pergi ke Kota Bharu, penulis tidak melepaskan peluang bertemu Menteri Besar Kelantan.
Saya sangat bertuah kerana berpeluang bertemu dan berbual-bual bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) pada 13 Mac 2012.
Pada kali pertama saya ke Kota Bharu pada 1995 sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Kem Kijang, saya turut berpeluang bertemu Tok Guru di rumah beliau di Kampung Pulau Melaka.
Pada kali ini pula, pertemuan diatur dengan kerjasama Setiausaha Politik MB, Wan Nik Wan Yussof dan Nik Faridah Mamat serta beberapa individu yang mengalu-alukan kunjungan saya ke Kota Bharu.
Sejak awal, saya sudah menyatakan bahawa tujuan – atau "motif" – saya ke Kelantan adalah untuk melihat sendiri apakah negeri berkenaan benar-benar "mundur" dan "miskin" seperti heboh diperkatakan pihak tertentu sejak belakangan ini.
Alang-alang pergi ke Kota Bharu, tentulah saya tidak mahu melepaskan peluang bertemu Tok Guru. Tambahan pula, setahu saya, beliau amat mesra dan tidak mengamalkan protokol apabila orang biasa mahu bertemu beliau.

Pada mulanya, saya dijadualkan mengadakan pertemuan dengan MB Kelantan di Hotel Raudah selepas Persidangan Orang Kurang Upaya (OKU) Darul Naim Peringkat Kebangsaan.
Bagaimanapun, bagaikan pucuk diundang, ulam mendatang, peluang diberikan untuk saya mengadakan pertemuan tertutup bersama Tok Guru di kediaman rasmi beliau.
Hadir bersama-sama saya ialah Rohani Deraman dari Johor Bahru, Zainab Ngah dari Kuala Terengganu serta Nur Hidayah, Wan Asyeah Wan Nawang dan Abdul Mutalib Awang dari Kota Bharu.
Selalunya, apabila saya menyatakan kepada rakan-rakan di Lembah Klang berkenaan keinginan untuk bertemu Tok Guru, ada dua reaksi klise yang diberikan.
Pertama, ramai yang bertanya adakah saya mahu bertemu Tok Guru untuk "masuk Islam". Tentu sahaja golongan yang bertanya begitu adalah kumpulan yang cetek ilmu, tidak menyedari kehebatan sebenar Tok Guru, serta mereka itu ternyata tidak tahu cara berdakwah yang betul.
Kedua, ada yang tertanya-tanya motif sebenar saya bertemu Tok Guru. Misalnya, pengarang terkenal dari Kelantan, Leo AWS memberitahu saya baru-baru ini: "Saya ditanyakan tentang kehadiran saudara di Kota Bahru sehingga ketemu Tok Guru – apakah motif sebenarnya."
(Konco-konco Tokoh Lidang Bercabang, Raja Serigala Bahasa, Encik Limau, Penerima Anugerah Laut dan Timah Wangi pula khabarnya sedang rancak menyebarkan berita palsu kononnya saya ada motif politik mengatur pertemuan dengan "pembangkang".)
Reaksi yang kedua tadi jelas membuktikan betapa sempit pemikiran orang tertentu. Pasti mereka hanya melihat Tok Guru sebagai orang politik dan bukan sebagai tokoh unggul yang disegani tanpa mengira kaum dan agama, serta tidak melibatkan pegangan politik.
Agamamu, agamaku
Malah, beberapa individu kaum India yang berasal dari Kelantan memberitahu saya bahawa mereka meletakkan Tok Guru di tempat yang tinggi; hampir sama seperti kedudukan Mahatma Gandhi dalam hati masyarakat India; tanpa ada sebarang kaitan parti politik.
Sejak awal, tujuan – atau "motif" – lawatan saya ke Kota Bharu adalah amat jelas; iaitu melihat sendiri benarkah wujud "kemiskinan" dan "kemunduran" fizikal, rohani, sosial dan mental seperti dipropagandakan pihak tertentu.
Maka, tentulah amat wajar sekiranya saya bertemu MB Kelantan untuk mendapatkan pandangan beliau. Apa yang saya lakukan bukan wawancara yang skema. Sebaliknya perbualan secara santai tanpa ikatan politik dan tanpa sebarang agenda.
Antara perkara pertama yang saya perhatikan apabila bas ekspres yang saya naiki memasuki sempadan Kelantan melalui Gua Musang pada 11 Mac adalah kehadiran gereja, tokong, masjid dan kuil.
Nah! Kewujudan rumah-rumah ibadat ini sendiri sudah membuktikan hakikat bahawa kebebasan beragama dipraktikkan di negeri Kelantan yang membangun bersama Islam.
Saya menyebut perkara ini semasa perbualan bersama-sama Tok Guru dan huraian yang beliau berikan semakin membuktikan kehebatan beliau sebagai tokoh agama.
Tok Guru memetik ayat keenam dalam Surah Al-Kafirun iaitu surah ke-109 dalam al-Quran untuk menjelaskan realiti yang wujud. Terjemahan ayat itu adalah "untukmu agamamu, dan untukku agamaku".
Daripada perbualan kami, amat jelas bahawa Kerajaan Negeri Kelantan mengamalkan cara pemerintahan Islam yang sebenar; sebagaimana dituntut Islam serta pernah diamalkan oleh Nabi Muhammad (s.a.w) dan para sahabat baginda.
Memandangkan pentadbiran negeri Kelantan adalah berasaskan Islam, saya masih tertanya-tanya apakah sebenarnya "kemunduran" dan "kemiskinan" yang heboh diperkatakan pihak tertentu. Mungkin mereka hanya melihat aspek "kemajuan" dan "pembangunan" dari segi bangunan pencakar langit dan jumlah "duit kopi" yang mampu dihulurkan.
Apa yang saya sebutkan sebentar tadi mengenai pertemuan dengan Tok Guru adalah antara hakikat yang tidak diketahui "dunia luar" kerana sering kali fakta diputar-belit dan dimanipulasi demi kepentingan politik pihak tertentu yang mahu terus berkuasa dengan apa cara sekali pun.
Misalnya berkaitan Hukum Hudud yang mahu dilaksanakan mengikut Enekmen Pentadbiran Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Enekmen Hudud).
Orang ramai di luar Kelantan khasnya sering dimomokkan dengan kata-kata bahawa Hudud akan memberikan kesan negatif serta menghakis hak penduduk agama-agama lain.
Pada hakikatnya, orang bukan Islam tidak perlu bimbang atau takut kerana pelaksanaan Hukum Hudud adalah untuk orang Islam. Malah, orang Islam yang tidak ada niat melakukan jenayah hudud juga tidak perlu bimbang kerana "hudud" adalah hukuman bagi beberapa jenayah berat sahaja.
Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan sebenarnya menerbitkan pelbagai brosur dan buku yang mengandungi maklumat tepat, lengkap, jelas dan benar mengenai pelbagai isu. Selain membacanya, saya juga berpeluang mendengar sendiri penjelasan daripada MB Kelantan.
Pemimpin berjiwa rakyat
Akan tetapi, soalnya, berapa ramai yang berpeluang membaca buku-buku berkenaan walaupun diedarkan secara percuma? Dan berapa ramai (dari luar Kelantan) yang berpeluang bertemu secara bersemuka dengan Tok Guru untuk berbual-bual secara santai berkenaan pelbagai topik dalam usaha mencari penjernihan, kebenaran dan fakta?
Bagi saya, dalam kebanyakan hal, saya tidak sekadar bergantung pada "penerangan" dan "penjelasan" yang disampaikan oleh Tok Guru secara lisan. Sebaliknya, melihat wajah beliau yang tenang dan ikhlas sudah memadai untuk "menceritakan" peribadi mulia yang dimiliki.
Saya juga berpeluang memiliki senaskhah buku bergambar berjudul "Imbasan 20 Tahun" (2010) terbitan Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan. Dipaparkan foto-foto dan maklumat berkaitan pembangunan di negeri itu sejak Tok Guru menjadi MB pada 23 Oktober 1990.
Apa yang menarik adalah bahawa maklumat dan foto berkenaan dipaparkan seadanya; iaitu tanpa kerja-kerja melobi dan mengampu seperti yang sering berlaku pada penerbitan buku-buku "tokoh" yang biasa diterbitkan sebagai bahan propaganda politik bagi si polan dan si polan.
Bagi Farizal Yusoff, seorang guru dari Kubang Kerian, Tok Guru adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat.
"Beliau senang didekati dan tidak menjadikan jawatan MB sebagai penghalang untuknya berdakwah. Pintu rumah sentiasa terbuka dan ikhlas melayan setiap permasalahan rakyat," katanya menerusi mesej yang dikirim kepada saya menerusi Facebook, minggu lalu.
Isma Muhammad pula mengimbau kenangan lebih 20 tahun lalu iaitu apabila seorang pelajar menulis surat kepada Tok Guru mengenai kesulitan yang dihadapi pelajar Madinatul 'Ilmi untuk keluar masuk ke sekolah kerana jalan tanah merah.
"Dalam suatu majlis penyampaian hadiah di sekolah kami, Tok Guru menyebut tentang surat misteri itu serta meminta ADUN Perupok menjadikan sekolah kami sekolah angkat.
"Menteri Besar juga meluluskan pembinaan jalan bertar sepanjang hampir dua kilometer dengan kos sekitar RM15,000 demi keselesaan para pelajar," katanya.
Bagi Roshidayu Che Mat dari Shah Alam, beliau terpesona dengan kezuhudan pemimpin itu.
"Beliau satu-satunya pemimpin yang tidak bersifat 'tuan' dan 'tuhan' kepada orang lain. Sebaliknya menjadi pemikul tanggungjawab yang tidak korup," katanya.
Abdullah Abdul Rahman dari Pasir Putih, Perak pula menyimpulkan Tok Guru sebagai pemimpin yang karismatik.
"Beliau ilmuan berjiwa hamba sebenar dan memiliki keupayaan membangkitkan keyakinan terhadap kepimpinannya sebagai seorang MB. Pengiktirafan selaku '50 Pemimpin Islam Paling Berpengaruh di Dunia' menjelaskan kredibiliti sebenar beliau," katanya.
Saya yakin bahawa ketokohan Tok Guru sebagai pemimpin Islam (bukan hanya "Islam" pada nama) menjadi asas pemerintahan (pentadbiran) yang adil dan disukai penduduk pelbagai kaum dan agama di Kelantan; khususnya sejak 1990.
Itulah juga sebabnya kedudukan Tok Guru sukar digugat walaupun pelbagai cara yang licik dan penuh tipu-helah khabarnya telah, sedang dan akan cuba digunakan "kuasa luar".

Uthaya Sankar SB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads