26 pelajar tahfiz khatam al-Quran atas kereta api26 pelajar tahfiz khatam al-Quran atas kereta api
Pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Peka Yatim Kelantan menaiki kereta api di Wakaf Baru, Tumpat, semalam.
TUMPAT 29 Mac - Seramai 26 pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (Peka Yatim) mengikuti program 'Perjalanan Menggunakan Kereta Api, al-Quran Penuh Rahmat' bermula hari ini.
Pengetuanya, Ahmad Hilmi Ahmad berkata, kesemua pelajar berkenaan berlepas dengan menaiki kereta api dari stesen Wakaf Bharu ke Johor Bahru kira-kira pukul 6.30 petang.
Menurutnya, sepanjang perjalanan tersebut, mereka akan membaca dan seterusnya mengkhatam al-Quran di atas kereta api berkenaan.
Tambahnya, program selama dua hari itu turut diisi dengan lawatan sambil belajar ke beberapa tempat menarik di sekitar Johor Bahru.
"Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk memberikan pengalaman baharu kepada para pelajar mengenai tatatertib dalam bermusafir.
"Selain itu, kita juga mahu membudayakan bacaan dan menanam sikap cintakan al-Quran di dalam diri setiap peserta program ini," katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan rombongan berkenaan di stesen kereta api Wakaf Bharu di sini hari ini.
Terdahulu, perasmian pelepasan program tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan (JKM) negeri, Md. Noor Chek.
Kata Ahmad Hilmi, program itu turut disertai oleh 10 kakitangan pusat tahfiz berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan