PAS dijangka akan membentangkan usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 di Kelantan.
Ia telahpun diluluskan oleh Sidang Dun Kelantan dan langkah membawa usul ke Parlimen adalah langkah susulan bagi memastikan pelaksaannya kelak benar-benar terjamin tanpa halangan oleh mana-mana pihak.
Dijangkakan usul ini akan mendapat tentangan dari pelbagai pihak dan PAS telah pun bersedia menghadapinya.
Usul ini akan menjadi suatu sejarah di negara ini bahawa setelah berpuluh tahun merdeka, syariat Islam bakal terlaksana di Kelantan. Atau juga sebaliknya menjadi sejarah moden bahawa sebuah negara umat Islam yang majoritinya beragama Islam menolak Syariat Islam di negaranya sendiri.
Sejauh mana kekuatan PAS untuk disokong oleh majoriti Ahli Parlimen juga akan dilihat dalam usul yang akan dibentangkan nanti.
Paling penting, umat Islam di negara ini akan menjadi saksi bahawa PAS pernah berusaha membentangkan undang-Undang Syariat Islam di Parlimen untuk diaplikasikan manakala dunia Islam pula akan menjadi pemerhati benarkah Malaysia adalah sebuah negara Islam tulen atau sebaliknya.
Yang perlu difahami oleh semua pihak bahawa dalam sebuah negara demokrasi di negara ini, suara majoriti rakyat menjadi pemutus dalam sesuatu perkara yang akan dilaksanakan.
Dalam hal ini, kerajaan negeri Kelantan telah dipilih oleh majoriti rakyat. Keputusan melaksanakan undang-undang Syariat Islam adalah keputusan bersama yang dibuat oleh pemimpin kerajaan negeri tersebut. Tidak perlu mana-mana pihak melenting dengan keputusan ini atas dasar sentimen semata-mata.
Jika benar kita menghormati demokrasi dan mengangkatnya tinggi, maka, wajar semua pihak menghormati keputusan kerajaan Kelantan tersebut.
Pastinya kerajaan Kelantan tidak menggadaikan masa depan rakyat apabila membuat keputusan mahu melaksanakan Syariat Islam, bahkan ia membela nasib rakyat di negeri itu.
Seharusnya semua pihak memberikan peluang kepada kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang syariat Islam.
Jika ianya baik untuk kerajaan negeri itu dan rakyatnya, teruskanlah dan mungkin menjadi model pula kepada kerajaan negeri yang lain.
Jika ianya buruk dan membawa implikasi yang buruk, maka rakyat berhak menentukan keputusannya dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan