03 di galas kelantan - Google Blog Search |
BLOG - BLOG RASMI PARTI: BLOG - BLOG PARTI UMNO Posted: 23 Feb 2012 03:49 AM PST Oleh ZAITON DAROIS "Bahasa merupakan nilai dan budaya bangsa." Ungkapan itu diluahkan oleh seorang tokoh politik bukan Melayu, iaitu Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Devamany S. Krishnasamy sewaktu dijemput oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 15 Julai lalu bagi memberikan syarahan mengenai usaha memartabatkan bahasa Melayu dari kaca mata ahli politik. Menurut beliau, bahasa Melayu yang merupakan bahasa ibunda mempunyai hubungan emosional dengan penuturnya dan berkait rapat dengan kalbu dan sanubari rakyat. Jelas beliau lagi, bahasa Melayu memainkan peranan sebagai alat perhubungan berbilang bangsa sejak dahulu lagi, sepertimana yang dipaparkan dalam karya agung Tun Sri Lanang menerusi Sejarah Melayu yang menggambarkan kegemilangan dan kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka. Sejak beberapa dekad lalu, Malaysia telah melalui beberapa fasa pembangunan. Bermula daripada Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara dan terkini Model Ekonomi Baru. Namun malangnya, pengembangan dan penyebaran bahasa Melayu seakan-akan tercicir daripada pakej pembangunan tersebut. Walaupun pembangunan negara berjaya membawa perubahan dari sudut sosiopolitik, sosioekonomi dan tututan masyarakat, namun bahasa Melayu masih tidak berubah walaupun suatu ketika dahulu pernah menjadi bahasa sarwajagat terhebat di Nusantara. Tuntutan ekonomi kapitalisme telah menghanyutkan perjuangan nasionalisme sehingga Universiti Kebangsaan Malaysia yang suatu ketika dahulu dilihat memertabatkan bahasa Melayu kini dilihat sama seperti universiti lain di Malaysia Sedar atau tidak, bahasa Melayu telah menerima tamparan hebat sejak 20-30 tahun dahulu. Era digital dan globalisasi tanpa sempadan menyaksikan bahasa Melayu terpaksa bersaing hebat dengan bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris. Aplikasi dasar liberalisasi sekitar 1980-an menyaksikan penggunaan bahasa Inggeris semakin meluas dan bahasa Melayu pula seolah-olah perlu bersedia untuk diturunkan ke liang lahad. Berbeza dengan zaman sebelum merdeka dan pascamerdeka, bahasa Melayu dilihat memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat nasionalisme. Melalui karya sastera, seorang novelis terkenal iaitu Pak Sako (Ishak HajI Muhammad) yang menghasilkan Anak Mat Lela Gila mengkritik penjajah dan pada sama memartabatkan bangsa dan bahasa. Menurut Devamany, semangat nasionalisme dahulu adalah hak milik semua kaum. Kesedaran ini tidak terbatas kepada bangsa Melayu semata-mata, malahan Cina dan India turut bersama-sama bangkit dan berjuang. Melalui media cetak seperti surat khabar Saranggabani melahirkan tulisan yang mencetuskan semangat nasionalisme untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Melihat senario yang berlaku pada hari ini, Devamany menyatakan bahawa kecanggihan teknologi menyaksikan kita sekali lagi merelakan diri dijajah, namun dengan cara yang lebih halus. Usaha perlu dilakukan untuk mengembalikan semula semangat nasionalisme dan jati diri negara bangsa. Langkah pertama adalah dengan meletakkan keagungan bahasa dan sastera Melayu pada tempat selayaknya iaitu DBP yang dilihat sebagai pemangkin yang perlu menggalas harapan dan tanggungjawab tersebut. DBP yang mempunyai kematangan, sumber, kepakaran dan kemampuan mampu melaksanakan hasrat ini tanpa membataskan sasaran terhad kepada sekolah kerajaan semata-mata tetapi perlu menyeluruh kepada sekolah Cina dan Tamil. 27 juta rakyat Malaysia perlu bersama-sama menggalas tanggungjawab ini memandangkan perjuangan bahasa Melayu merupakan wadah perjuangan rakyat Malaysia. Dalam usaha negara mencapai status negara maju, adunan bahasa kebangsaan dan membina jati diri bangsa perlu diacukan serentak. Hal ini penting kerana di sinilah peranan karya sastera yang berunsur patriotik mampu menyemarakkan semangat cintakan negara terutama kepada golongan muda. Peranan sastera tidak hanya terhad kepada penyeri bicara tetapi mampu menjadi alat pembakar semangat perjuangan seperti yang menyentuh isu ketidakadilan sosial dan kemiskinan yang disampaikan dalam nukilan karya seperti cerpen, novel dan puisi mutakhir. Kini, usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu melalui satu anjakan paradigma. DBP sebagai badan induk yang bertanggungjawab perlu melipatgandakan promosi di segenap lapisan masyarakat. Penglibatan semua kaum dalam usaha membudayakan bahasa Melayu perlu giat dijalankan bagi menyemai semangat dan rasa cinta terhadap bahasa Melayu kepada semua rakyat. Penubuhan Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum yang dilakukan oleh DBP merupakan satu langkah awal yang sungguh baik. Menurut Devamany, dengan adanya bahagian ini, usaha mengembangkan bahasa Melayu, khususnya kepada masyarakat bukan Melayu dapat diperhebatkan. Antara isu pertama yang perlu diselesaikan ialah menangani masalah 20 peratus daripada kalangan kanak-kanak yang ketinggalan dari segi literasi. Ukuran bagi kejayaan ini dapat dinilai dengan melihat keyakinan ibu bapa sebagai penanda aras untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan dan bukan ke sekolah swasta. "Satu Bahasa, Satu Malaysia" yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd. Najib Tun Razak dilihat sabagai satu langkah yang meyakinkan untuk mengembalikan peranan Asia sebagai gergasi dunia. Jepun, sebagai contoh yang paling berjaya membentuk negaranya melalui acuan sendiri melalui budaya dan bahasa. Tidak mustahil Malaysia juga mampu mengikut langkah Jepun sekiranya rakyat berbilang bangsa di negara ini bersatu untuk memulihara budaya bangsa. Devamany menekankan bahawa menjadi kerugian besar jika segala usaha untuk memartabatkan bahasa, budaya dan agama tidak digemblengkan. Perlu ditegaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita yang bukan milik mutlak DBP, bukan juga masyarakat Melayu semata-mata tetapi milik bersama rakyat Malaysia kerana bahasa adalah jiwa bangsa |
You are subscribed to email updates from di galas kelantan - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan