Selasa, 14 Februari 2012

03 di perupok - Google Blog Search

03 di perupok - Google Blog Search


LAMAN RASMI ADUN MAHARANI: ADUN MAHARANI TURUN <b>...</b>

Posted: 14 Feb 2012 09:12 AM PST

MUAR: Mereka bukan pendatang asing dan mereka juga bukan penyokong tegar pembangkang sebaliknya berkemungkinan besar mereka adalah penyokong setia Umno namun kedhaifan hidup mereka membuktikan kealpaan pemimpin-pemimpin negara merealisasikan slogan "rakyat didahulukan" yang digembar-gemburkan selama ini.

Dalam kerancakan pembangunan negara yang begitu pesat, amat mustahil masih terdapat segelintir rakyat yang terpinggir daripada menikmati keselesaan hidup yang sewajarnya.

Inilah realiti kehidupan yang masih membelenggu segelintir rakyat di negeri ini yang sempat dirakamkan Harakah ketika mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Dr Mohamad Taslim, yang tidak jemu-jemu turun padang untuk menyantuni rakyat di Dun tersebut sejak beliau dipilih mewakili Dun Maharani pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Bagi kebanyakan rakyat di Dun Maharani terutama orang Melayu, kehadiran Dr Mohamad sesuatu yang asing bagi mereka, bukan disebabkan Dr Mohamad mewakili Pakatan Rakyat tetapi kerana jarangnya wakil-wakil rakyat terdahulu turun padang bertemu dan mengambil tahu masalah rakyat.

Berbeza dengan pendekatan yang diambil Dr Mohamad yang mudah ditemui rakyat di mana sahaja sama ada di majlis walimatulurus, kematian atau program-program kemasyarakatan yang dianjurkan Dun Maharani, menyebabkan rakyat begitu mesra dan amat senang dengan kehadiran beliau.

Pada 12 Januari lalu, Harakah sekali lagi berkesempatan mengiringi Dr Mohamad meninjau beberapa rumah penduduk di Parit Perupok Jalan Abdul Rahman, dekat sini, yang begitu daif dan memerlukan perhatian serius pihak kerajaan.

Mungkin sesetengah kita tidak percaya hari ini masih ada insan yang tinggal di rumah kotak berukuran 10 kaki x 12 kaki yang berlantaikan tanah dan dimasuki air bila air laut pasang selain tiada bekalan elektrik dan air bersih, sungguh daif.

Untuk keperluan makan minum dan membasuh pakaian, beliau menggunakan air hujan manakala untuk mandi pula, beliau terpaksa pergi ke surau berhampiran.

Inilah yang dilalui seorang warga emas di Parit Perupok Laut, Daud Idris, 70, sejak kira-kira 15 tahun lalu, beliau bekerja mencari lokan dan siput laut dengan pendapatan tidak menentu, dengan usia yang sudah agak lanjut ini beliau tidak mampu menjalankan kerja ini sepanjang masa.

Oleh kerana beliau yang masih bujang ini menghadapi masalah pendengaran maka tidak banyak rahsia yang dapat dicungkil daripada beliau untuk mendapatkan maklumat berhubung sejarah diri beliau masa lalu yang menyebabkan beliau berkelana membawa diri jauh dari keluarga.

Walau apa pun keadaan ini tidak seharusnya menjadi penghalang utama kepada pihak-pihak berkaitan terutama kerajaan untuk menghulur bantuan yang sewajarnya kepada beliau memandangkan usianya yang sudah lanjut serta tahap kesihatan yang tidak menentu maka sewajarnya beliau dapat menikmati sisa-sisa usia emas ini dengan lebih selesa seperti orang lain.

Sebuah lagi rumah penduduk yang sempat diziarahi Dr Mohamad dalam kunjungan ini, rumah seorang ibu tunggal warga emas, Tik Ahmad, 82, di Parit Perupok Jalan Abdul Rahman, yang sudah begitu uzur dimakan anai-anai.

Sekali imbas memang rumah beliau kelihatan masih elok tetapi apabila dilihat dari dekat barulah kelihatan dinding papan
serta kayu rumah beliau hampir kesemuanya telah reput dimakan anai-anai.

Beliau yang tinggal bersama anak, menantu serta lapan cucu ini sentiasa berada dalam kebimbangan memandangkan keadaan rumahnya umpama menunggu masa untuk roboh.

Beliau pernah cuba memohon untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Mesra Rakyat (PPMR) pada 2008 tetapi tidak berjaya kerana beliau tidak mempunyai pendapatan tetap.

Selepas itu anak beliau, Badrul Hisham Kamani pula cuba memohon tetapi tidak berjaya sebab beliau sudah memiliki rumah sendiri, rumah PPMR yang beliau mohon adalah untuk ibunya kerana rumah tersebut sudah terlalu uzur dan membahayakan.

Berikutan itu pihak-pihak berkenaan menyarankan kepada Badrul Hisham supaya menukar hak milik tanah ini kepada beliau kerana beliau mempunyai pendapatan dan mampu membayar balik pinjaman tersebut.

Setelah proses menukar hak milik tanah ini dilakukan, Badrul Hisham sekali lagi mengemukakan permohonan baru atas nama beliau tetapi borang tersebut didakwa tidak dimajukan untuk diproses selama beberapa tahun sehinggalah aduan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) dibuat kemudiannya.

Setelah aduan kepada BPA ini dibuat barulah permohonan beliau diproses, bagaimanapun permohonan beliau tidak juga diluluskan dengan alasan beliau sudah ada rumah sendiri.

HARAKAH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads