Jelas Tina, durian kunyit memerlukan 100 hari dari tempoh ia mula berputik untuk masak dan gugur. Buah yang baik boleh mencapai berat sehingga tiga kilogram sebiji.
Katanya, bermula daripada ia berputik, proses penjagaan rapi amat diperlukan kerana jika tidak buah akan gugur sebelum tempoh matangnya.
Seperti kebun-kebun lain, dusun juga tidak terlepas daripada ancaman binatang buas, sementelah ia berada jauh ke dalam hutan.
Jelas Tina, beliau terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk menghalang binatang buas daripada menceroboh dusunnya dan memakan buah-buah yang gugur.
"Memang banyak, selalunya gajah, babi hutan dan harimau yang masuk. Kami biasa gunakan mercun untuk menghalau dan sekarang saya sedang membina pagar-pagar yang lebih kukuh untuk menghalang haiwan liar.
"Ketika musim durian kami adakalanya terpaksa tidur di dalam pondok di dusun untuk menjaga tanaman dan buah-buahan," kata bekas peragawati sambilan dan pendandan rambut profesional ini.
Bercerita mengenai keenakan durian kunyit Tina memberitahu, mungkin tidak ramai yang mengetahuinya kecuali jika disebut Musang King.
Durian tersebut dijual di pasar raya-pasar raya dipek dan dijual mengikut ulas.
Kepada penggemarnya, harga bukan satu masalah tetapi adakalanya mungkin membuatkan kita terfikir, betulkah dua ulas durian Musang King harganya sampai RM15?
"Durian ini dikenali sebagai durian kunyit kerana warna isinya yang kekuningan seakan kunyit selain rasanya yang berbeza daripada durian biasa serta tekstur isinya.
"Saya difahamkan, Musang King adalah spesies yang sama dengan durian kunyit.
"Kononnya durian jenis ini hanya ada di Gua Musang manakala King pula merujuk pada 'gelaran' raja buah-buahan itu," ujar wanita yang masih bujang ini.
Tina memberitahu, dusunnya mampu mengeluarkan sehingga dua tan durian kunyit untuk tempoh tiga bulan setiap musim dan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM300,000," ujar Tina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan