Sabtu, 3 Mac 2012

03 di galas kelantan - Google Blog Search

03 di galas kelantan - Google Blog Search


PAS Selamatkan Anwar, Anwar Bunuh PAS | Terang Bulan

Posted: 27 Feb 2012 04:42 AM PST

Sejarah Terus Terukir Dalam Kemarahan Tangan Ghaib Yang Sedang Mencengkam PAS

Dalam keriuhan isu menjamin keselamatan Israel, tiba-tiba di sudut Pekan Rabu, Alor Star terdengar beberapa orang anak muda sudah mula berani bercakap marahkan Anwar. Saya yang baru tiba sekadar mencari dodol dan kuah rojak Mak Bee tumpang dengar apakah butiran perbincangan mereka walaupun pada mulanya tidak ambil peduli.

Antara perkara menarik yang dibincangkan antara mereka ialah dakwaan bahawa Anwar Ibrahim sedang menyusun langkah untuk membunuh PAS sedangkan pada peringkat awal pembentukan Pakatan Rakyat dan ketika dipecat daripada UMNO, PAS mempertahankan Anwar sebagai seorang pemimpin yang berjiwa Islam dan sedia memberikannya tempat.

Tegasnya, setelah Anwar pernah mencaci PAS ketika dalam UMNO, pemimpin PAS sanggup melupakan masa silam termasuk apa yang pernah diperkatakannya pada suatu ketika pada tahun 1987:

"Para pemimpin PAS janganlah menjadikan diri mereka sebagai pelawak sarkas yang hanya menjadi bahan untuk orang lain mengaut keuntungan, sedangkan mereka hanyut dalam tepukan. PAS kini telah sedia diperalatkan oleh golongan pelampau yang bencikan Islam, bangsa Melayu serta mahu segera keistimewaan orang Melayu dihapuskan."

Itu adalah ucapan ketika merasmikan UMNO Bahagian Parit, Perak pada 22 Mac 1987, tetapi setelah Anwar dipecat daripada UMNO dua puluh tahun kemudiannya, nadanya adalah berlainan. Ketika riuh orang bercakap mengenai kehebatan Anwar di pentas demonstrasi jalanan, pemimpin PAS mula mengharapkan dengan mendekati Anwar, PAS akan kembali bersinar dan mendapat nafas baru.

Buktinya walaupun tidak begitu berkesan, dalam PRU 1999 ia mendapat kedudukan yang terbaik dengan menguasai jumlah kerusi parlimen terbesar sejak tahun 1959, iaitu 27 kerusi. PAS berjaya menawan Terengganu dan kekal di Kelantan manakala kedudukan pengaruh Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai ahli parlimen Pekan ketika itu seakan-akan tergugat dengan hanya menang majoriti lebih 200 undi.

Kemenangan itu tentunya adalah disumbangkan sedikit sebanyak oleh pengaruh Anwar dan kekalutan yang berlaku dalam UMNO apabila beberapa orang rakan karib Anwar mula mengambil peluang untuk memasuki PAS dan sebahagian besarnya pula menerajui Parti Keadilan Rakyat. Golongan yang membawa imej ABIM pada mulanya itulah kemudiannya menjadi sepasukan pemimpin yang mempengaruhi gaya dan kepimpinan PAS pada masa kini, yakni dikenali sebagai Anwarinas atau Anwarista.

Kumpulan Anwarinas ini semakin mempengaruhi dari dalam kepimpinan PAS sehingga menyebabkan kedudukan kumpulan ulamak semakin kehilangan kuasa. Saki baki golongan ulamak yang ada dalam PAS terpaksa akur dengan kehendak untuk memberikan peluang kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri dalam misi seterusnya, merampas Putrajaya.

Misi merampas Putrjaya itu sebenarnya telah dibina oleh Anwar semasa kempen PR Kecil Permtang Pauh pada bulan Ogos 2008 dan pada tarikh 16 September 2008, yakni sempena Hari Ulangtahun Penubuhan Malaysia akan dijulang sebagai Perdana Menteri kerana sebelumnya beliau sanggup melakukan banyak serangan peribadi kepada Dato' Sri Najib Razak yang telah diberikan jaminan oleh Perdana Menteri ketika itu sebagai penggantinya.

Semasa kempen pilihan raya kecila tiga serangkai –Kawasan Parlimen Bukit Gantang (Perak), DUN Bukit Selambau (Kedah) dan DUN Batang Ai (Sarawak)–Dato' Sri Najib baru sahaja menerima baton kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Malaysia ke enam. Tarikhnya ialah awal April 2009, iaitu setelah projek menukarkan kerajaan oleh Anwar Ibrahim telah gagal kerana tidak boleh memujuk seramai 30 orang wakil rakyat parlimen BN untuk menyeberang dengan cara membeli mereka dengan harga RM 10 juta seorang.

Anwar gagal mendapat penaja kerana jumlahnya adalah besar iaitu RM 300 juta. Dan pada bulan Februari 2009, kerajaan Perak yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (dominasi DAP) akhirnya terpaksa akur yang kekuatan mereka sudah berubah kerana dua orang wakil rakyat PKR dan seorang lagi daripada DAP menyatakan sokongan kepada BN. Atas faktor itulah akhirnya Paduka Sultan Perak mengisytiharkan bahawa BN sebagai kuasa baru untuk memerintah Perak. Ini tidak dapat diterima oleh PKR dan DAP sehingga menganggap ia sebagai "rampasan politik yang tidak beretika."

Para pemerhati politik melihat situasi ini sebagai satu peluang bagi BN, kerana perancangan Pakatan Rakyat sebenarnya telah gagal dan berbalik kepada BN.

PAS seterusnya semakin gagal kerana dalam beberapa pilihan raya kecil yang diadakan hanya mampu bertahan di Bukit Gantang (Parlimen), DUN Galas (Kelantan) dan menang di Kuala Terengganu (Parlimen). PAS tewas di DUN Galas (Kelantan), DUN Tenang (Johor), Kerdau (Pahang) dan semua kerusi yang dipertandingkan di Sarawak. Keadaan ini menyebabkan PAS dilihat semakin tidak berupaya sehingga menyebabkan ramai pendokongnya sukar membuat keputusan bahawa parti itu sudah kehilangan arah.

Siri kekalahan PAS seterusnya memberikan gambaran bahawa parti itu terpaksa menagih simpati daripada sekutunya jika ingin dilihat terus gagah dan kuat. Hasilnya, PAS yang telah diserap masuk oleh kelompok Anwarinas telah berubah sepenuhnya mempertahankan Anwar meskipun Ketua Pembangkang tersebut semakin dipersoalkan dengan masalah moral dan hubungannya dengan kapitalis Yahudi.

Dalam soal memberikan sokongan menjamin keselamatan Israel, pemimpin PAS masih belum membuat keputusan tegas meskipun Anwar dikatakan sudah pun memberikan penjelasan manakala Presiden PAS terus tidak dapat menerima Israel sebagai sebuah negara, Israel adalah sebuah negara haram. Ini tidak membawa kepada sebuah keputusan untuk memaksakan Anwar agar memohon maaf dan menyatakan kekesalannya secara terbuka kepada masyarakat Islam. Ini jelas membuktikan bahawa PAS sedang menunggu hukuman daripada para pengundinya sendiri yang tidak boleh menerima kenyataan Anwar walaupun dijelaskan ia sebuah jawapan kepada sebuah pertanyaan.

Jika ia merupakan salah petikan, maka adalah menjadi tanggungjawab Anwar untuk menyaman ataupun mendesak pihak penerbitan akhbar tersebut memohon maaf. Sebaliknya, Anwar membiarkan perkara itu berlalu kerana beliau sebenarnya takutkan tindak balas pemegang saham dalam syarikat terbabit, yakni para pemodal Yahudi yang bergerak di Wall Street, Amerika Syarikat yang melabur modal dalam Dow Jones & Company di Hong Kong.

Berasaskan kepada situasi itu maka benarlah Anwar sebenarnya sedang memerangkap PAS ke dalam kancah politik yang boleh membunuh dan menghancurkan parti. Kini, di Kedah sebagaimana dikesalkan oleh kumpulan pemuda di Pekan Rabu itu seakan-akan menjadi kenyataan apabila Menteri Besar yang tergolong dalam kelompok ulamak dalam PAS sedang diterjah dengan tangan-tangan ghaib sehingga upacara mengangkat sumpah EXCO untuk tempoh selanjutnya pada 28 Februari 2012 dilihat semakin bermasalah.

Dalam pada itu, kelompok Anwarinas dalam PAS sedang mencaturkan strategi untuk memaksakan Menteri Besar itu tidak lagi dicalonkan untuk bertanding dalam PRU ke-13 dengan alasan kepimpinannya tidak disenangi oleh DAP. Beberapa kali tindakan Menteri Besar dilihat telah menimbulkan kemarahan DAP sehingga seorang calonnya pernah mengugut untuk tidak menyokong. Bagaimanapun, akhirnya wakil rakyat DAP itu menarik balik hasratnya setelah diberikan nasihat oleh Anwar dan pemimpin-pemimpin DAP pusat. Bagaimanapun, damai itu hanyalah berlaku di peringkat luaran sahaja, dalamnya masih bergolak.

Ekoran pemecatan Dr Hasan Ali turut membawa kepada masalah besar kepada PAS kerana bekas EXCO Selangor itu tetap menyelar perubahan haluan kepimpinan ulamak yang terpaksa tunduk kepada DAP dan PKR. Dr Hasan Ali terus meramalkan PAS akan kalan teruk dalam PRU ke-13, tetapi DAP akan menjadi semakin dominan meskipun PKR nasibnya turut terumbang-ambing. Dalam tempoh empat tahun, Pakatan Rakyat sebenarnya telah menguntungkan DAP manakala PKR dan PAS semakin berantakan.

Anwarinas yang menyelinap masuk ke dalam kepimpinan PAS itulah yang bakal membunuh PAS pada masa depan, maka, pemuda itu membuat andaian jika PAS ingin kekal sebagai sebuah parti politik yang kuat, parti itu perlulah keluar daripada kepompong liberalisme Anwar dan sekularisme DAP.

Sejak penubuhannya, PAS mampu bergerak bersendirian dan tidak memerlukan sokongan PKR dan DAP. PAS lebih dipercayai sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam jika terus berusaha berjuang dalam persekitaran matlamat asal dan tidak bergabung dengan DAP dan PKR. DAP masih dinilai sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina manakala PKR hanya untuk mencapai matlamat peribadi Anwar Ibrahim.

Atas dasar itulah PAS harus menilai semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat bahkan kalau boleh berjalan sendiri kerana DAP sedang memperkuatkan kedudukannya dengan turut memaksa PAS agar berkorban lebih banyak kerusi bagi membolehkan calon-calon Melayu yang sedang direkrut boleh bertanding untuk menggugat kedudukan calon-calon UMNO. Sebenarnya, UMNO tidak pernah gentar dengan DAP kerana DAP tidak pernah menang dalam kawasan majoriti Melayu. DAP hanyalah jaguh dalam majoriti bukan Melayu, manakala PAS tidak pernah bertanding dalam kawasan bukan majoriti Melayu.

Perspektif itulah membukakan ruang kepada Anwar untuk membuat percaturan terbaru. Anwar akan memberikan ruang yang lebih luas kepada DAP demi melangsungkan cita-citanya, hatta dalam situasi terpaksa membunuh teras perjuangan PAS kerana pengaruhnya semakin besar dan kuat dalam parti yang sudah berubah daripada kepimpinan ulamak kepada kelompok sekular yang berhasrat menonjolkan diri sebagai ulamak. Kelompok inilah sekarang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tegas terhadap Anwar apabila berusaha menjamin keselamatan Israel, kerana mereka sebenarnya sudah begitu taksub dengan kata-kata Anwar, perjuangan utama Pakatan Rakyat ialah untuk mengambilalih Putrajaya.

Menafikan kemenangan majoriti dua pertiga BN di Parlimen sudah berjaya dilakukan, maka kini adalah membuktikan Pakatan Rakyat menjadi pemerintah. Pakatan Rakyat akan laksanakan, kerana rakyat semakin matang dengan tindakan BN walaupun kini, bayangan kejayaan Anwar semakin lemah dan menipis. Pakatan Rakyat melihat PRU ke-13 bakal menentukan hidup mati UMNO/BN tetapi UMNO/BN tetap yakin kemenangan akan menyebelahinya kerana petunjuk dari rakyat telah jelas, BN semakin diterima sedangkan Pakatan Rakyat semakin bergolak.

Pergolakan dalam Pakatan Rakyat adalah kerana Anwar, konflik dalam PAS juga kerana Anwar. DAP melihat situasi itu sebagai sesuatu yang bakal menyumbang kemenangan besar kepada kedudukannya, maka tidaklah hairan selepas ini, Anwar terpaksa menyembah DAP untuk mendapat kedudukan kerana PKR sudah lama musnah dan PAS sedang dimusnahkan oleh kelompok Anwarinas.

Pandangan tersebut ada benarnya. Asasnya cukup kuat, maka terpulanglah kepada pemimpin PAS sama ada boleh memikirkan perkara itu secara berhemah atau terus membiarkan parti itu dimusnahkan oleh tangan-tangan ghaib yang sedang memanjangkan cengkamannya sehingga ulamak yang ada sudah tidak mampu berkata sejujurnya dan mengambil keputusan selaras dengan prinsip asal perjuangan parti yang ditegakkan atas dasar membina sebuah pemerintahan berasaskan syariat dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Monosin Sobri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads