Selasa, 12 Jun 2012

03 di dabong - Google Blog Search

03 di dabong - Google Blog Search


EDU-kasi: Kawasan Rekreasi Stong, Jelawang, <b>Dabong</b>, Kuala Krai <b>...</b>

Posted: 18 May 2012 05:51 PM PDT

Pada 27-28 Mac 2012 saya ke kawasan Rekreasi Hutan Stong, yang terletak di Jelawang, Dabong, di Daerah Kuala Krai Selatan, Kelantan, bagi satu penyelidikan berkaitan pelancongan. Di bawah adalah sebahagian gambar-gambar yang saya ambil untuk dikongsikan dengan para pembaca blog ini:



























Berikut adalah maklumat berkaitan tempat ini yang dipetik daripada laman sesawang Majlis Daerah Dabong:
1.               Hasil penilaian audit, didapati bahawa Taman Hutan Negeri Stong dikategorikan pada Peringkat Nasional (58.4%)
2.               Taman Hutan Negeri Stong berupaya meningkatkan prestasi ke peringkat antarabangsa dengan memberi perhatian terhadap aspek-aspek seperti :
·                 Meningkatkan kemudahan asas : Mewujudkan gerai cenderahati dan restoran
·                 Penyelenggaraan : Meningkatkan tahap kebersihan di beberapa tempat yang bermasalah
·                 Pemasaran dan promosi :Membangunkan laman web khas
Di bawah adalah petikan daripada laman sesawang Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR)
Gunung Setong (Stong)- Gunung Ayam, Dabong, Kelantan.
Kedua-dua gunung yang berada di Hutan Jelawang ini kebiasaannya didaki dalam satu ekspedisi. Dabong adalah pekan kecil yang terdekat, kemudahan stesen keretapi menjadikan keretapi sebagai pengankutan pilihan para pendaki untuk ke Dabong.
Dari Dabong pendaki perlu menaiki bot untuk merentas Sg. Galas kira-kira 5 minit perjalanan. Perjalanan seterusnya sejauh 5KM jalanraya berturap dengan van atau kereta sapu untuk tiba di Kg. Jelawang.
Pendaki boleh memulakan pendakian dari Kg. Jelawang melalui trek balak atau meneruskan perjalanan dengan van atau kereta sapu menyusuri jalan kampung sejauh 2.8KM ke Resort Jelawang.
Resort Jelawang berada di kaki Air Terjun Jelawang 666 kaki dari aras laut. Resort ini menawarkan kemudahan chalet, bilik mesyuarat, surau serta tandas. Pendaki boleh melaporkan diri di sini sebelum memulakan pendakian.
Terdapat dua lagi trek ke Baha's Camp yang berada di puncak Air Terjun Jelawang pada ketinggian 1404 dari aras laut. Satu trek terus ke trek balak dan satu lagi menyusuri kaki air terjun jelawang sebelum masuk ke trek balak.
Pendaki boleh tiba di Baha's Camp kira-kira 45 minit berjalan. Baha's Camp diselia oleh sekumpulan anak tempatan yang memberi perkhidmatan jurupandu arah selain mengawasi kawasan Hutan Jelawang. Tapak khemah di sini cukup luas dan boleh menampung ratusan orang.
Beberapa tempat menarik boleh dilawati di sekitar Baha's Camp seperti Gua Rantai, Air Terjun Kolam Puteri, Telaga Tujuh dan Air Terjun Dua Gunung.
Gua ini dinamakan gua rantai kerana dipasang rantai di dalamnya bagi memudahkan pengunjung melalui gua ini. Walaupun tidaklah begitu jauh perjalanan dalam gua ini namun tetap memberi keseronokkan kepada pengunjung.
Kolam Puteri / Air Terjun Kolam Puteri
Air terjun ini agak tinggi dan mempunyai kolam yang besar, dalam dan tenang. Seronok bermain air di sini sama ada mengelunsur di air terjun mahupun berenang.
Telaga Tujuh
Tujuh telaga semulajadi ini berada di tengah-tengah sungai di atas air terjun Kolam Puteri. Masuk ke dalam telaga ini menjanjikan satu pengalaman menarik.
Air Terjun Dua Gunung
Dua air terjun dari dua buah gunung iaitu G. Stong dan G. Ayam bercantum menjadi satu sungai.
Trail
Kebiasaannya pendaki memulakan pendakian dari Baha's Camp seawal pagi setelah bermalam dan menikmati panorama matahari terbit dari puncak air Terjun Jelawang.
Trek adalah mengikut jalan balak tinggal seterusnya melalui denai-denai yang mencanak.
Pada waktu tengahari pendaki boleh tiba di puncak G. Stong. Setongkol batu besar dengan pokok bonsai di atasnya menjadikan puncak ini unik. Dari istilah 'stone' disebut jadi bunyi 'setong' dalam dialek tempatan.
Dari puncak G. Stong pendaki perlu turun hingga ke satu persimpangan trek ke G. Ayam yang dipanggil "Beta Balak" pada ketinggian 2652 kaki dari aras laut. Di sini jugalah punca air terakhir sebelum ke puncak G. Stong.
Trek dari Beta Balak ke Puncak G. Ayam kurang mencanak berbanding ke G. Stong. Pendaki akan melalui kawasan pokok-pokok bonsai sejurus tiba di puncak Baha iaitu anak G. Ayam. Puncak Baha ke Puncak Ayam hanya memakan masa kurang sejam perjalanan. Lewat petang pendaki boleh tiba di puncak G. Ayam.
Puncak G. Ayam ditanda dengan 'plate' dan terdapat pokok-pokok bonsai setinggi 10 kaki. Kira-kira sepelaung dari puncak ini terdapat kawasan perkhemahan yang boleh memuatkan sekitar 50 orang. Bukan sahaja tapak khemah, tapak kaki gajah juga biasanya terdapat di sini. Pemandangan matahari terbenam cukup indah berlatarbelakangkan pokok-pokok bonsai di kawasan khemah.
Sumalian Trail
Satu lagi laluan ke G.Stong dan G.Ayam adalah dengan mengikut lembah Semeliang (Dialek tempatan berbunyi Sumelian). Laluan ini tidak mempunyai trek (off-trek) dan memberi cabaran yang lebih hebat kepada pendaki. Selain terpaksa meredah hutan, laluan adakalanya menyusuri anak-anak sungai atau longkang laluan air.
Terdapat beberapa tempat menarik di Lembah Sumeliang seperti Taman Orkid, Gua Kelawar dan Gua Kayu Jadi Batu. Taman Orkid merupakan kawsan yang ditumbuhi orkid-orkid liar yang jarang ditemui. Gua Kayu Jadi Batu pula adalah gua yang mempunyai fosil kayu balak yang sekeras batu. Selain itu terdapat kalimat 'Allah'  (Alif-Lam-Lam-Ha) berwarna hijau florencent secara semulajadi di dalam gua ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads