Melahirkan golongan hafiz profesional yang komited menerajui kepentingan agama, bangsa dan negara bukanlah satu tugas mudah kerana ia memerlukan sokongan dan perhatian semua pihak.
Bersandarkan kepada pepatah Melayu yang berbunyi 'jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya', sekumpulan guru yang bertugas di kelas pengajian pondok moden Darul Halim di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang wajar dipuji kerana mengadakan pelbagai usaha untuk menambah golongan cerdik pandai dalam bidang agama.
Walaupun pelajar di sekolah pondok berkenaan tidak mengharungi sesi persekolahan biasa, mereka tetap diasuh mengikut jadual yang ditetapkan setiap hari bermula waktu Subuh sehinggalah waktu tidur pada jam 11 malam.
Acuan hidup mereka sudah ditetapkan dan mereka melakukannya dengan penuh kerelaan termasuk membersihkan kawasan rumah, memasak dan mengemas serta melakukan kerja khidmat masyarakat di komuniti setempat di samping tugas hakiki mereka menghafaz al-Quran dan mendalami ilmu agama.
Peluang bersua muka dengan beberapa penghuni yang berusia antara 13 hingga 21 tahun itu membuktikan keazaman dan kesungguhan pengurusan sekolah pondok moden itu dalam melahirkan 'pewaris' zaman kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dulu.
Pelajar paling dewasa, Ahmad Husaini Ibrahim, 21, berkata, kepentingan ilmu akhirat membuatkannya nekad berpisah sementara dengan keluarga di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan.
Menurutnya, walaupun mengalami kesukaran untuk bergerak kerana tergolong dalam orang kelainan upaya (OKU), dia tetap berusaha untuk berdikari dan melakukan yang terbaik mencapai cita-citanya menjadi seorang hafiz satu hari nanti.
Ahmad Husaini tidak menafikan cabaran yang perlu dihadapi setiap hari dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar 'pondok' yang menjurus kepada usaha menghafal al-Quran sepanjang masa.
"Rutin kami bermula selepas Subuh, mengemas bilik, bersarapan dan melakukan aktiviti bebas seperti membersihkan kawasan rumah dan membasuh pakaian.
"Kelas hafazan bermula selepas Zuhur hingga Asar. Di sini, kami menghafaz secara berkumpulan dan teguran dibuat jika berlaku kesilapan ketika menghafaz," katanya.
Bekas pelajar Maahad Tok Kenali, Kota Bharu itu berkata, walaupun menghadapi kesukaran turun naik tangga kerana bilik tidurnya terletak di tingkat atas manakala kelas al-Quran di tingkat bawah, faktor itu tidak pernah menjadi penghalang untuknya bersama rakan lain dalam setiap aktiviti yang diadakan.
"Memang susah sikit tetapi saya tidak kisah selagi dapat beriadah, makan minum dan membaca al-Quran di tingkat bawah rumah dua tingkat ini," kata anak ketujuh daripada sembilan beradik itu.
Ahmad Hafizuddin Abdul Mubin, 16, berkata, walaupun pernah belajar di dua sekolah aliran agama yang turut menyediakan akademik bagi menyeimbangkan pendidikan dunia dan akhirat, anak bongsu daripada lapan beradik itu mengambil keputusan untuk berhenti dan sambung belajar di Darul Halim.
"Saya tahu tanpa kelulusan dalam bidang akademik, penghuni di sini agak sukar mendapatkan pekerjaan tetapi saya percaya rezeki di tangan Tuhan dan Dia sudah menetapkan segala-galanya untuk kita," katanya yang berasal dari FELDA Jengka 2.
Bekas pelajar Maahad Tahfiz Darul Hijrah, Jengka itu berkata, kejayaan dua abangnya, Ahmad Kamri, 28, dan Ahmad Fariduddin, 24, yang menjejakkan kaki ke Universiti al-Azhar, Mesir dan Universiti Islam Medan, Indonesia mendorongnya belajar di Darul Halim.
"Saya bukan menolak ilmu akademik tetapi amat menyayangi bidang hafazan ini kerana mahu mendalami ilmu agama. Kami bukan saja menghafaz tetapi juga cuba memahami isi kandungan al-Quran itu sendiri.
"Tinggal sepenuh masa di sini juga mengajar kami erti kehidupan berkeluarga. Kami menguruskan keperluan sendiri, memasak, bermain dan bersukan malah turut membantu membersihkan kawasan persekitaran rumah jiran secara sukarela," katanya yang ditugaskan menyediakan makanan kepada penghuni di situ.
Menurutnya, naskhah al-Quran mempunyai nilai yang sangat tinggi malah diabadikan sebagai khazanah terulung dalam dunia Islam dan menjadi tinggalan Nabi Muhammad SAW yang paling agung.
"Apabila kita cinta kepada al-Quran, ia akan memberi kekuatan untuk menghafalnya. Seronok belajar di sini kerana dunia kami di sini dikelilingi kitab suci al-Quran dan jiwa sentiasa dibasuhi ayat al-Quran dan menjadi pendinding dan penenang jiwa," katanya.
Bagi dua penghuni berasal dari Kemboja, Zakaria Abdullah, 17, dan Mohd Razali Zakaria, 16, kehadiran mereka di Darul Halim secara tidak langsung membantu mereka mendalami ilmu agama.
Bagi Zakaria, peluang belajar al-Quran saat paling indah dalam hidupnya kerana dapat mengetahui kandungan kitab suci itu dengan lebih terperinci.
"Kami bukan setakat menghafal tetapi juga mencari maksudnya dan saya dapat membayangkan betapa indahnya menjalani kehidupan sebagai seorang Islam jika kita mengetahui isi kandungan al-Quran itu sepenuhnya.
"Walaupun baru empat bulan di sini, saya gembira dapat belajar dan melakukan aktiviti secara bersama. Secara tidak langsung dapat melupakan kerinduan kepada keluarga buat sementara waktu," kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu.
Walaupun berasal dari Phnom Penh, keluarga Zakaria sudah lama menetap di Ulu Tiram, Johor dan kehadirannya di Darul Halim secara sukarela kerana mahu menjadi seorang hafiz dan berhasrat kembali ke Kemboja untuk mengajar al-Quran satu hari nanti.
"Saya gembira di sini kerana mempunyai rakan yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain dan saling membantu jika berhadapan masalah dalam apa juga perkara," katanya.
Mohd Razali pula berkata, kehadirannya di Darul Halim berlaku secara tidak langsung apabila seorang guru agama di kampungnya, Kampung Cham mempelawanya ke Malaysia dan belajar agama.
"Saya terus bersetuju kerana tidak mahu menyusahkan keluarga yang sememangnya hidup dalam kemiskinan di sana. Saya masih belajar menyesuaikan diri dengan rakan di sini kerana kurang fasih berbahasa Melayu tetapi ia sama sekali tidak menjejaskan saya untuk menghafal al-Quran," katanya yang dibantu Zakaria menterjemahkan apa yang dikatakan.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu bernasib baik kerana tidak dipinggirkan rakan lain kerana kesukarannya bertutur dalam bahasa Melayu dan kini giat melatih diri untuk berbuat demikian.
"Walaupun kadangkala terbit rasa rindu dan ingin kembali ke pangkuan keluarga, saya terpaksa kuatkan semangat demi membela nasib keluarga dan berhasrat untuk bekerja sebagai guru agama apabila pulang ke kampung," katanya.
Pegawai Darul Halim, Mohd Farid Othman, 44, berkata, seramai 16 pelajar sedang mengikuti kelas hafazan di bawah pengawasan Ustaz Abdul Halim Mahmud, 43, yang juga seorang penghafaz al-Quran berpengalaman bermula September lalu.
"Kami hanya menerima pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 21 tahun. Di sinilah tempat tinggal mereka dan belajar setiap hari mendalami ilmu al-Quran dan menghafaz sehingga bersedia bergelar seorang hafiz.
"Kejujuran, keikhlasan dan ketekunan mereka menghafal al-Quran setiap hari secara tidak langsung dapat mendidik dan membersihkan hati nurani mereka, sekali gus dapat menghindarkan mereka daripada terbabit dengan gejala salah laku yang semakin menular dalam kalangan remaja mutakhir ini," katanya.
Menurutnya, bukan mudah untuk menarik minat golongan remaja mencintai kitab suci al-Quran dan menjadikannya sebagai 'teman setia' sepanjang hari.
"Justeru, saya hormati dan menghargai semangat juang mereka datang ke sini untuk belajar al-Quran, sekali gus membasahi bibir mereka dengan ayat al-Quran setiap hari demi merealisasikan impian menjadi penghafaz al-Quran," katanya.
Menurutnya, pihaknya tidak meletakkan syarat tertentu tetapi pelajar yang datang ke Darul Halim mestilah benar-benar ikhlas dan mahu belajar menjadi seorang hafiz al-Quran.
"Walaupun kami mengenakan yuran pendaftaran dan pengajian, bagi keluarga yang tidak mampu, kami tidak memaksa mereka menjelaskannya, sebaliknya menyumbang sekadar termampu saja," katanya.
Mohd Farid berkata, Darul Halim yang membawa maksud 'Yang Maha Lemah Lembut' ditubuhkan bagi memenuhi hasrat arwah bapanya, Othman Ibrahim iaitu pengasas Yayasan Othman Ibrahim yang ditubuhkan pada 1985 dengan memberi fokus kepada pembangunan pendidikan Islam.
"Semoga hasrat arwah bapa untuk melahirkan ramai penghafaz al-Quran akan terlaksana dengan kewujudan Darul Halim ini dan mewarnai dunia cendekiawan Islam Pahang satu hari nanti," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19
Tiada ulasan:
Catat Ulasan