Oleh ROSMIZAN RESDI
utusankelantan@utusan.com.my
Sebahagian daripada petani di enam buah Kampung di kawasan Mukim Marak, Demit melihat keadaan padi serta tanah yang mula merekah ekoran masalah kekurangan air di Kampung Padang Tambak, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Rosmizan Resdi
KOTA BHARU 11 Feb. - Lebih 100 petani dari enam buah Kampung di kawasan Demit di sini, bakal berdepan dengan kerugian hampir RM1 juta apabila tanaman padi seluas kira-kira 200 hektar yang diusahakan mereka mengalami masalah kekurangan air.
Antara kampung yang mengalami masalah tersebut adalah Kampung Padang Tambak, Padang Mentera, Padang Durian, Kubang Palas, Marak dan Jabi.
Penghulu Mukim Marak, Mohd. Yunan Abas berkata, petani-petani di kawasan terbabit akan berdepan dengan kerugian yang cukup besar sekiranya masalah kekurangan air tidak dapat diatasi dalam tempoh terdekat.
"Masalah kekurangan air ini berlaku kerana sumber air yang disalurkan tidak sampai ke kawasan padi menyebabkan tanaman menjadi semakin layu serta hampir rosak.
"Keadaan ini bertambah teruk dan membimbangkan apabila tanah padi juga mula merekah memandangkan sekarang adalah musim kemarau," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Mohd. Yunan, masalah tersebut cukup memberi kesan kerana rata-rata petani di kawasan berkenaan mengusahakan tanaman padi seluas 40 hektar dengan nilai modal keseluruhannya RM200,000.
"Saya amat berharap perkara ini dapat diatasi segera oleh pihak yang berkaitan bagi mengelak petani-petani di sini berdepan dengan kerugian.
"Selain itu, sistem perparitan sedia ada juga perlu dikaji semula memandangkan penduduk kampung di sini hanya bergantung kepada hasil jualan padi sejak dahulu lagi," katanya.
Sementara itu, seorang petani dari Kampung Marak, Abdullah Abdul Rahman, 63, berkata, masalah ini akan menjejaskan pendapatan mereka sekeluarga sekiranya ia tidak ditangani dengan segera.
"Sumber pendapatan saya hanya bergantung kepada hasil tanaman ini kerana saya telah mula mengusahakannya sejak daripada dahulu lagi.
"Saya sangat berharap pihak berkaitan dapat turun meninjau keadaan kami di sini dan berusaha menyelesaikannya," katanya.
Abdullah berkata, untuk musim ini, dia telah mengeluarkan modal kira-kira RM2,000 bagi membeli benih serta kos upah membajak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan