Pertemuan dua jaguh pantai Timur, Terengganu dan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada suku akhir pertama Piala Malaysia hari ini bakal menarik ribuan penyokong kedua-dua pasukan.
Ada yang menganggapnya seperti final Piala Malaysia 2011.
Pertemuan kedua-dua pasukan memang menarik perhatian ramai kerana perlawanan itu tersebut juga akan menguji siapa lebih hebat di antara dua pengendali Datuk M. Karathu atau Irfan Bakti Abu Salim, yang pernah menjadi penolong Karathu ketika membimbing Kelantan pada 1993.
"Ia boleh diibaratkan seperti final pertama Piala Malaysia 2011." Demikian rumusan jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim menjelang pertemuan itu hari ini.
Irfan berharap semua pemain diharapkan dapat fokus sepanjang 90 minit permainan dan menggunakan segala kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
"Pastinya saya akan turunkan barisan terbaik termasuk Joseph Kalang yang baru sahaja pulang dari beraksi di Australia tempoh hari.
"Kehadiran Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat di bahagian serangan juga diharap mampu menghadirkan jaringan buat pasukan dalam misi mendapatkan bekalan selesa sebelum aksi di Kota Bharu," katanya.
Tambah Irfan lagi, pengalaman beraksi menentang Kelantan dalam kempen Liga Super dan final Piala FA lalu memberi lebih banyak idea kepadanya untuk mengekang asakan juara bertahan itu.
Namun, katanya, kelibat Norshahrul Idlan Talaha perlu sentiasa diawasi selain menyekat Badri Radzi daripada menguasai sepenuhnya barisan tengah.
"Kelantan memiliki barisan pemain seimbang dan mereka cukup pantas apabila melakukan serangan.
"Namun, saya tidak perlu risau kerana pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan untuk menyekat kemaraan Kelantan. Kami telah bekerja keras sepanjang musim ini dan kami tidak akan berhenti untuk mara lebih jauh," katanya.
Katanya, pertemuan antara dua negeri jiran itu sentiasa dinantikan penyokong kedua-dua pasukan kerana perlawanan antara juara Liga Super dan Piala FA 2011 itu pasti menyajikan persembahan yang menarik.
"Dua pasukan pilihan (Terengganu dan Kelantan) sudah ditakdirkan bertemu pada suku akhir walaupun rata-rata peminat bola sepak tempatan mahu menyaksikan pertembungan kami pada final nanti.
"Ini kerana kedua-dua pasukan ini merupakan antara pasukan elit dalam liga tempatan ketika ini dan saya pasti perlawanan menentang Kelantan bukan satu tugasan yang mudah," katanya kelmarin.
Berdepan skuad Penyu, Red Warriors tidak mempunyai banyak pilihan selain mendapatkan sebanyak mungkin jaringan untuk dijadikan kelebihan menjelang pertemuan suku akhir kedua di Kota Bharu pada Jumaat ini.
Meskipun pernah menumbangkan Terengganu dalam Liga Super, saingan Piala Malaysia pasti menjanjikan laluan berbeza buat Kelantan dalam usaha mempertahankan Piala Malaysia.
Terengganu, yang beraksi di gelanggang sendiri pasti tidak akan memberikan laluan mudah buat Red Warriors, selain cuba mengecewakan juara bertahan itu.
Ketua pasukan Red Warriors, Mohd. Badri Razdhi mengakui Terengganu merupakan pasukan yang tidak boleh di pandang rendah.
"Terengganu sebuah pasukan yang kuat, beraksi di tempat sendiri mereka pasti akan bermain mati-matian untuk mendapatkan seberapa banyak gol sebagai bekalan sebelum pertemuan kedua nanti.
"Saya dan rakan-rakan tidak akan memberikan laluan mudah buat mereka.
"Jika mereka mahu mendapatkan jaringan, kami pun sama. Apa yang penting kita tidak boleh terburu-buru untuk mendapatkan jaringan, sebaliknya perlu fokus dan memanfaatkan peluang yang terhidang sebaik mungkin dengan menghasilkan gol sebagai bekalan pada perlawanan kedua nanti," katanya kepada pemberita di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu semalam, selepas sesi latihan terakhir sebelum berangkat ke Kuala Terengganu.
Meskipun pernah menumbangkan Terengganu dalam aksi liga lalu, saingan malam ini pasti menjanjikan laluan berbeza buat skuad bimbangan Karathu dalam misi mempertahankan Piala Malaysia yang dimenanginya pada musim lalu.
Dengan nada merendah diri, jurulatih kelahiran Perak itu lebih selesa turun dengan status underdog ketika rakan sejawatanya lebih berminat membakar semangat anak buahnya.
Mengulas mengenai kekuatan Terengganu, jurulatih yang kaya dengan pengalaman itu mengakui kelibat pemain seperti Mohamad Ashaari Samsudin, Ismail Faruqi Asha'ri, Abdul Manaf Mamat dan penjaring terbanyak pasukan mereka, Abdul Hadi Yahaya antara yang perlu diberi perhatian oleh anak buahnya dalam pertemuan malam ini.
Utusan/Kosmo
Full content generated by Get Full RSS.